Monday, May 14, 2012

Masalah Bila Kek ataupun Biskut Tidak Menjadi

Kek Kering

Bila melihat kek kita kering sahaja pasti kita rasa kecewa kan? Ini mungkin kerana bahan pengembang berlebihan sehingga udara terperangkap terlalu banyak didalamnya.

Ataupun mungkin suhu oven yang kurang panas membuatkan kek terpaksa berada lama dalam oven sebelum ia masak. Dengan itu, sebelum membakar kek, lebih baik panaskan oven dalam 15 ke 20 minit. Kemudian barulah masukkan kek.

Kek Jadi Retak

Oven yang terlalu panas pun membuatkan kek akan jadi retak dan pecah di tengahnya. Dengan itu, jangan letak kek di tingkat paling atas oven untuk mengelakkan terlalu panas. Seeloknya letak dibahagian tengah. Loyang terlalu kecil juga mungkin penyebab kek pecah di bahagian tengah.

Kek Bantat ataupun Tidak Menjadi

Mungkin cecair yang digunakan lebih banyak dari bahan kering sehingga adunan menjadi terlalu lembik dan tidak naik bila dibakar.

Jumlah bahan pengembang seperti serbuk penaik dan soda bikarbonat yang digunakan tidak sesuai ataupun mungkin tidak tepat.

Mungkin kerana cara memukul ataupun mengisar adunan tidak sehala ataupun berlebihan memukulnya ketika memasukkan tepung. Ataupun mungkin juga ketika memukul gula dan mentega tidak cukup kembang lagi putih.

Telur

Telur adalah antara bahan utama dalam membuat kek dan biskut. Untuk itu, petuanya perlulah menggunakan telur yang segar. Untuk mendapat telur yang segar lebih baik beli di pasar daripada di kedai kerana di pasar telur yang dijual tidak disimpan lama.

Selain dari itu, pilihlah telur jenis double A ataupun beratnya sekitar 60 gm sebiji. Untuk membuat biskut jangan gunakan telur yang terlalu besar kerana ia akan meningkatkan kandungan cecair dan dikhuatiri doh akan menjadi lembik.

Mentega

Mentega juga adalah bahan penting untuk membuat kek dan biskut. Untuk itu, kalau ingin membuat biskut pastikan mentega tidak terlalu keras kerana mentega yang keras akan mengeluarkan minyak jika dikacau berlebihan biskut akan jadi bantat. Gunakan mentega yang lembut sedikit ataupun dalam suhu bilik.

1 comment: